ALOR SETAR 12 Jun - Kerajaan negeri sudah mengemukakan cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini dan negeri-negeri di utara tanah air.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang tersebut yang bakal beroperasi untuk kargo dan penumpang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
Katanya, lokasi lapangan terbang tersebut dikenal pasti berdekatan dengan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kulim membabitkan tanah seluas 600 hektar.
"Kerajaan negeri melihat bahawa permintaan pengangkutan udara ini semakin meningkat kerana kemudahan lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang akan menjadi semakin terhad pada masa depan kerana keperluan kargo dan penumpang yang bertambah.
"Kita tahu bahawa Pulau Pinang mempunyai bidang tanah yang agak terhad jadi lapangan terbang itu tidak boleh dibesarkan lagi.
"Tawaran Kedah kepada Kerajaan Persekutuan adalah tanah yang luas dan mampu menampung dua landasan lapangan terbang bertujuan untuk operasi kargo dan penumpang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Peningkatan Kerjaya & Sukan Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu di sini hari ini.
Kedah kini mempunyai dua lapangan terbang iaitu Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) dekat sini dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.
Tambah Mukhriz, kerajaan negeri juga yakin projek tersebut akan menjadi pencetus kepada pertumbuhan ekonomi di zon utara bukan sahaja membabitkan negeri ini malah sektor industri di selatan Thailand.
"Cadangan tersebut masih dalam peringkat awal. Saya telah menulis surat kepada Perdana Menteri mengenainya dan selepas ini kita akan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan.
"Kawasan yang dikenal pasti adalah melibatkan Kulim bersempadan Sungai Petani. Ini bukan hanya mampu merancakkan ekonomi Kedah malah juga negeri lain termasuk Pulau Pinang," katanya.
Sumber: Sini
Aku tengok dah heboh dalam facebook kawan-kawan pasal cadangan PM Kedah untuk buat lapangan terbang baru. Kalau betullah, memang selepas ni, aku hari-hari dengar bunyi kapal terbang atas kepala. Pencemaran bunyi tu! Depa kena upah konsultan untuk buat penyelidikan dan implikasi kalau buat lapangan terbang di situ. Pembinaan lapangan terbang adalah dibawah Prescribe Activities, Environmental Quality ( Prescribed Activities) Environmental Impact Assessment Order 1987*mentang-mentang Isnin ni subjek Environmental Impact Assessment, keluaq semua teori.
Pada pendapat aku, pembinaan lapangan terbang ni ada pro dan juga kontranya. Kelebihannya, senang kalau aku nak ke mana-mana. Tak payah naik bas atau kereta api. Terus booking tiket! Cewah, macam tiket flight sesen dua. Lagi satu, Kulim akan bertambah maju dengan kepesatan ekonomi dan pembangunan.
Tapi, kelemahannnya, pencemaran bunyi untuk penduduk sekitar termasuk rumah aku. Lagipun, bagi aku Kulim dengan Pulau Pinang jaraknya tersangatlah dekat. Sedangkan di Bayan Lepas kan dah ada lapangan terbang. Tak jauh pun, sekentut pun dah sampai. Daripada membazir duit untuk buat lapangan terbang baru, apa kata gunakan dana tu untuk membangunkan negeri dari sektor lain. Contohnya, tolong orang miskin di Kedah. Ramai aku tengok yang masih susah tau..
Tapi seperti yang kita tahu, ini baru peringkat cadangan. Mestilah banyak prosedur yang akan dibuat sebelum sesuatu projek dijalankan atau dibangunkan. Betul tak?
Saya rindu Kulim! 11 hari lagi sebelum balik Kulim!